Tuesday, July 7, 2009

Hantu Jacko di Neverland?

LOS ANGELES - Peminat-peminat Raja Pop, Michael Jackson kini berdebat sama ada satu bayang seperti lembaga hantu yang muncul ketika satu siaran stesen televisyen CNN disiarkan secara langsung itu merupakan roh penyanyi berkenaan, lapor sebuah akhbar semalam.
Satu lembaga dilihat bergerak di koridor rumah Michael iaitu Neverland Ranch di Santa Barbara di sini tetapi ketika itu ia tidak disedari oleh jurukamera dan pengacara siaran CNN.
Lembaga itu kemudian hilang ketika stesen televisyen CNN membuat liputan berhubung rumah Michael itu. Liputan itu berjudul Inside Neverland yang menyiarkan temu ramah dengan abang Michael, Jermaine Jackson. Peminat-peminat Michael yang mesra dengan panggilan Jacko ketika dia masih hidup berdebat di laman web sama ada hantu Raja Pop itu yang berjalan menuju dalam rumah itu atau ia cuma merupakan bayang-bayang. Salah seorang peminat Jacko berkata dalam satu laman web: "Ia pastinya bukan satu bayang-bayang, Tidak ada sesiapa pun di sana (rumah Jacko) yang membuat bayang-bayang." Seorang lagi peminat memberitahu: "Kemungkinan ia (lembaga itu) ialah Michael bagi memberitahu kita bahawa dia masih lagi bersama kita tetapi dalam bentuk roh."Bagaimanapun, terdapat peminat yang tidak mempercayai kewujudan hantu Jacko. Menurut seorang lagi peminat, lembaga itu terlalu tinggi untuk kelihatan seperti Jacko. Imej itu turut disiarkan di laman web YouTube sekali gus tersebar dengan cepat di Internet. Jacko meninggal dunia pada 25 Jun lalu di rumah yang disewanya di sini selepas degupan jantungnya tiba-tiba terhenti. Jenazahnya akan dikebumikan pada hari ini di Hollywood Hills. - Agensi