Thursday, February 25, 2010

Qadiani bukan ajaran Islam


KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam proses mengambil tindakan merobohkan bangunan dipercayai masih aktif dijadikan pusat aktiviti kumpulan ajaran Qadiani di Kampung Nakhoda, Selayang. Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jais, Mohd Hidayat Abd Rani, berkata pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah Daerah meruntuhkan bangunan terbabit. Menurutnya, tindakan itu n dilakukan dalam tempoh terdekat kerana ajaran terbabit jelas salah dan terkeluar di sisi Islam. “Ajaran itu dah terkeluar dari Islam, tetapi melalui maklumat diperoleh dikatakan masih ada lagi aktiviti. “Oleh itu, kami dalam proses meruntuhkan bangunan yang dijadikan tempat aktiviti saki-baki kumpulan berkenaan. “Sebelum ini, kami mengambil tindakan menurunkan papan tanda berkaitan di kawasan terbabit dengan kerjasama PBT dan Pejabat Tanah Daerah,” katanya. Ajaran Qadiani menyalahi Islam, malah pengikut ajaran Qadiani dihukumkan kafir oleh ulama Islam serata dunia. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali kelapan pada 24 September 1984 memutuskan puak Qadiani/Ahmadiah terkeluar daripada Islam dan tidak boleh menerima hak sebagai Islam termasuk pengebumian di tanah perkuburan Islam. Antara ciri ajaran itu Mirza Ghulam Ahmad mendakwa sebagai nabi yang menerima wahyu, imam Mahdi, Isa al-Masih, mempunyai mukjizat, malaikat sebagai pancaindera Tuhan manakala Nabi Isa mati dan kuburnya di Srinagar. Mohd Hidayat berkata, masalah berkaitan ajaran Qadiani sebenarnya tidak sama dengan ajaran sesat lain. Katanya, masyarakat perlu faham berdepan dengan isu terbabit dan tidak timbul soal lambat mengambil tindakan atau tiada ketegasan daripada Jais terhadap pengikut ajaran terbabit. “Mengikut enakmen ajaran Qadiani diisytiharkan terkeluar dari Islam. Pengikutnya bukan lagi Muslim. Oleh itu, bukan mudah menangkap dan mendakwa mereka seperti yang dilakukan terhadap pengikut ajaran sesat lain,” katanya.
2010/02/25

Wednesday, February 24, 2010

Asam jawa kepala biawak


JASIN: 24.02.2010. Seorang ibu muda nyaris menyediakan hidangan asam pedas kepala anak biawak untuk hidangan tengah hari apabila mendakwa sebungkus asam jawa yang baru dibelinya dipercayai mengandungi kepala haiwan itu ketika menyediakan bahan untuk memasak, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 10.15 pagi, ibu kepada dua anak itu, Noraizun Razali, 24, terkejut apabila asam jawa yang diramas dalam bekas plastik mengandungi objek keras dan kasar.
Menurut Noraizun, dia langsung tidak menyangka ketulan asam jawa itu adalah kepala haiwan berkenaan yang sepanjang lima sentimeter kerana ketika mengeluarkannya daripada plastik ia diambil dalam bentuk ketulan seperti biasa.
Bagaimanapun, katanya, ketika menggaul dan meramas asam jawa yang dicampur dengan air, baru dia perasan objek itu keras dan tidak dapat dipisahkan. “Sekali lihat ia mempunyai muncung tajam dan saya ingatkan ia kepala ular kerana melihat keadaan kulitnya bersisik dan kelihatan giginya yang halus. “Saya terus melepaskan objek itu dan memanggil jiran bagi memastikan apa benda yang ada dalam asam jawa berkenaan.
Apabila mereka datang, kebanyakannya mengandaikan ia kepala ular kerana bentuk kepalanya leper dan mempunyai muncung tajam dan bentuk fizikalnya kelihatan jelas walaupun berlumuran dengan asam jawa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Kemendor, dekat sini, semalam. Noraizun berkata, kepala haiwan berkenaan hanya dapat dilihat dengan jelas apabila ia dibasuh oleh seorang jirannya dan ketika itulah ia baru kelihatan menyerupai biawak. Dakwanya, kulit binatang itu masih kelihatan elok walaupun bola matanya tiada lagi dan lebihan bahagian dalaman badan haiwan berkenaan yang terputus masih lagi ada. Katanya, berdasarkan alamat pengeluar bahan makanan mentah itu ia dikeluarkan sebuah syarikat tempatan di Ipoh, Perak. “Saya juga akan buat laporan kepada Jabatan Kesihatan (negeri) dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap syarikat yang mengeluarkan asam jawa berkenaan,” katanya. Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Azmi Hashim, ketika dihubungi bagi mengulas perkara itu berkata, wanita terbabit perlu membuat aduan kepada pihaknya bagi membolehkan tindakan lanjut dapat diambil.