Monday, January 26, 2009

Nasib harimau Malaya

Statistik menunjukkan 80 peratus daripada sejumlah 3,000 ekor harimau Malaya di Malaysia akan pupus dalam tempoh 50 tahun lagi. Apakah Rancangan Tindakan Harimau Kebangsaan dapat menyekat kepupusan itu dengan tambahan 1,000 ekor harimau menjelang tahun 2020?





SEPARUH abad yang lalu, bilangan harimau Malaya khabarnya semakin berkurangan di Malaysia. Bilangan yang dicatatkan ketika itu adalah 3,000 ekor tetapi kini yang tinggal hanya 500 ekor. Anggaran yang dikeluarkan pada tahun 1990-an itu membangkitkan pelbagai persoalan.
"Kemungkinan hanya 200 ekor yang masih selamat daripada peluru pemburu, kegiatan pembangunan dan sektor pertanian serta pertembungan dengan manusia. Ia sering berakhir dengan pembunuhan tanpa catatan rekod rasmi," kata Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah.
Aktiviti perhutanan dan menggondolkan kawasan tanah tinggi secara haram memaksa haiwan yang hidup bersendirian itu keluar dari habitat mereka. Kesempitan ruang hidup dan ketiadaan bekalan makanan seperti babi hutan, rusa sambar dan kijang turut memaksa sebilangan kecil harimau mencari makanan di kawasan perumahan dan jalan raya tanpa menyedari risiko yang menanti.
Selama empat tahun sejak tahun 1999, negeri Terengganu melaporkan sebanyak 309 kawanan lembu telah mati diserang harimau.


Antara tahun 1979 hingga 2006 pula, sebanyak 31 orang dipercayai dicederakan oleh haiwan yang sama dan 15 daripada mangsa itu meninggal dunia.
Melihat trend peningkatan kes harimau menyerang penduduk setempat sejak tahun 1991, agensi dan pegawai kerajaan telah mengambil langkah drastik bagi membendung penularan isu itu dengan menembak mati 13 ekor harimau Malaya dan 22 lagi dihantar ke Zoo Melaka serta Zoo Taiping.
Ternyata, apa yang terlepas pandang setiap kali kes sebegini dilaporkan dalam media massa ialah punca atau faktor yang mencetuskan keadaan itu berulang.
ZOO Negara pernah berjaya menghasilkan anak harimau beberapa tahun lalu.
"Perbuatan memasang perangkap dan memindahkan haiwan tersebut ke kandang bukanlah satu tindakan bijak kerana dalam jangka masa panjang, ia sama sekali tidak menangani konflik sebenar.
"Salah satu unsur penggalak kepada kewujudan masalah itu adalah ketidakseimbangan atau pengurusan tanah yang tidak betul serta pemburuan harimau untuk dijual di restoran yang semakin berleluasa," ujar Ketua Pegawai Eksekutif Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF-Malaysia), Datuk Dr. Dionysius Sharma.
Pegawai Kanan Konservasi, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Kanitha Krishnasamy pula memberi satu perspektif ringkas bagi menggambarkan kesan fragmentasi alam atau hutan secara tepat.
Menurutnya, pada kurun ke-19, hutan hujan tropika meliputi hampir 90 peratus di seluruh Semenanjung Malaysia. Menjelang tahun 1957, kawasan yang diliputi hutan berkurangan kepada 74 peratus dan kebanyakan kawasan tanah rendah telah ditukar statusnya bagi menggiatkan sektor pertanian. Semakin lama semakin kurang kawasan liputan hutan, misalnya pada tahun 1970-an, hanya tinggal 61 peratus manakala hanya terdapat 47 peratus hutan pada tahun 1980-an.
"Dalam setahun, kita kehilangan kira-kira 7,000 kilometer persegi kawasan hutan asli," jelas Kanitha yang menambah selain harimau, habitat dan kitaran makanannya juga perlu dilindungi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

No comments:

Post a Comment