Tuesday, March 31, 2009

Mayat wanita dalam but kereta

ANGGOTA polis memeriksa mayat wanita yang ditemui di dalam but sebuah kereta di Seri Kembangan semalam.
SUBANG JAYA - Mayat wanita dipercayai mangsa bunuh ditemui di dalam but sebuah kereta yang ditinggalkan berdekatan tempat pembuangan sampah dan loji kumbahan di sebuah pangsapuri di Seri Kembangan berhampiran Plaza South City semalam. Difahamkan, mayat tersebut disembunyikan dalam but kereta yang ditinggalkan di situ bertujuan melambat-lambatkan polis menemuinya. Mayat itu ditemui oleh pengawal keselamatan yang memeriksa but kereta tersebut yang terbiar di situ sejak beberapa hari lalu. Riduan Dollah, 27, berkata, dia dan rakannya menemui mayat tersebut pada pukul 10.30 pagi selepas memeriksa kereta itu ekoran menerima aduan terhidu bau busuk dari arah kereta yang tidak diketahui pemiliknya. Menurut beliau, kereta Proton Saga berwarna putih itu dipercayai telah diletakkan di situ selama seminggu tanpa dialihkan oleh pemiliknya. "Sebaik mendekati kereta berkenaan, saya dapati butnya diikat dengan kain selain ditampal dengan pita pelekat. "Sebaik kami memotong tali dan membuka pita pelekat itu, kami ternampak satu bungkusan yang mengeluarkan bau busuk yang dibalut dengan kain dan apabila dikuis dengan kayu, kami ternampak kaki manusia,'' ceritanya yang masih terkejut dengan penemuan mayat itu. Katanya, dia kemudiannya terus menghubungi polis bagi memaklumkan mengenai penemuan mayat itu.

No comments:

Post a Comment