Monday, March 2, 2009

Pramugara melalui tiga hari penuh menakutkan

KUALA LUMPUR: Seorang pramugara melalui tiga hari penuh menakutkan apabila diugut bunuh menggunakan pisau Rambo, selain penculik mengancam meletakkan mayatnya ke dalam belahan tilam sejurus dibunuh.Malah kumpulan penculik terbabit menggunakan lebih RM20,000 wang mangsa yang dikeluarkan melalui mesin ATM selepas diarahkan memberi nombor pin.Selain kaki dan tangannya diikat, enam penculik dipercayai warga Pakistan itu membelasahnya hingga lembik ketika ditahan dalam hotel, 23 Februari lalu.Bagaimanapun, pramugara berusia 34 tahun dari Puchong itu berjaya diselamatkan selepas keluarga dan rakan menyedari kehilangannya mencari mangsa dengan bantuan ahli Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) . Hasil pencarian itu, mereka menemui kereta mangsa di tempat letak kenderaan hotel di Jalan Pudu. Mengesyaki sesuatu tidak baik berlaku kepada mangsa, kumpulan itu berusaha menyelamatkannya.
Menceritakan kejadian itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Rizal, berkata pada mulanya dia langsung tidak menyangka kenalan dikenali hampir lapan bulan lalu sebenarnya merancang menculiknya.“Saya hanya mengenali seorang daripada rakan penculik itu. Pada mulanya dia mengajak saya bertemu di hotel Jalan Pudu bagi membincangkan masalahnya.“Namun, sebaik tiba di bilik hotel berkenaan, kelibatnya tidak kelihatan, sebaliknya saya disambut seorang lelaki lain mendakwa rakan kepada kenalan saya. Dia menyatakan kenalan saya keluar membeli rokok,” katanya.Menurutnya, dia cuba beredar dari bilik itu tetapi empat lagi lelaki yang berada dalam bilik berkenaan menahan sebelum mengikat kaki dan tangannya “Mereka merampas barangan berharga milik saya termasuk kad kredit dan beberapa kad ATM selain memaksa saya memberitahu nombor pin,” katanya.Harian Metro difahamkan, penjenayah terbabit menggunakan kad kredit dan kad ATM mangsa berbelanja dan membeli minuman keras mencecah RM20,000.Menurut Rizal, selepas tiga hari dikurung dia diselamatkan rakan-rakan, ahli Pekida dan anggota polis.Polis berjaya menahan seorang daripada enam ahli kumpulan penculik terbabit ketika rakannya yang lain keluar ke kedai berhampiran hotel kira-kira jam 1 pagi Khamis lalu.Hasil laporan mangsa, polis berjaya memberkas seorang ahli ahli kumpulan itu di Brickfields ketika sedang membeli arak berhampiran panggung wayang. Baki ahli geng itu masih diburu. Mangsa berada di luar negara atas nasihat keluarga dan dipercayai masih dalam keadaan trauma dan perlu bercuti bagi memulihkan kembali semangatnya.

No comments:

Post a Comment